Monday, October 17, 2011

Benarkah Syiah berasal dari yahudi bernama Abdullah bin Saba’ : Salah Faham Tentang Asal-Usul Agama Syi'ah



Hafiz: Orang-orang Yahudi yang sejarah kehidupan mereka telah dicemari dengan pendustaan dan penyelewengan tafsiran, seperti dilakukan oleh Abdullah bin Saba', San'aey, Ka'abul Ahbar, Wahab bin Munnabih dan ramai lagi yang lain, menyelusup masuk ke dalam Islam dan membina dasar-dasar agama dan menyuntik ke dalam fikiran kita kepercayaan yang menyalahi hadith-hadith Rasulullah SAWAW dan justeru itu menimbulkan kekeliruan di antara Muslim.

Khalifah yang ketiga, iaitu Usman bin Affan telah menghalau mereka keluar dari Mesir, di mana mereka kemudiannya menubuhkan satu parti bernama Syi'ah, dan menyebarkan propaganda mereka agar mereka menentang khalifah Usman. Mereka memalsukan banyak hadith dengan mendakwa bahawa Rasulullah SAWAW telah melantik Ali AS sebagai Pemimpin dan Imam.

Pembunuhan Khalifah Usman
Seterusnya penubuhan parti tersebut telah mengakibatkan pertumpahan darah yang banyak sehingga membawa kepada pembunuhan khalifah Usman dan perlantikan Ali AS sebagai Khalifah. Satu kumpulan yang bermusuhan dengan Uthman berdiri tegak di belakang Ali AS. Daripada situlah parti Syi'ah mula berakar umbi, tetapi di waktu pemerintahan khalifah Umaiyyah, apabila kesemua ahli keluarga Ali AS dan pengikut setia mereka terbunuh, parti ini menjadi satu gerakan bawah tanah. Masih terdapat orang seperti Salman al-Farsi, Abu Dzar al-Ghiffari dan Ammar bin Yasir, yang sibuk menyebarkan dakyah untuk Ali AS. Ini berlangsung sehingga ke masa pemerintahan al-Makmun al-Rasyid, yang mengalahkan abangnya dengan pertolongan orang-orang Iran dan mereka mula menyebarkan pandangan bahawa Ali AS adalah lebih utama sebagai Khalifah daripada khalifah-khalifah yang lain. Orang-orang Iran yang memusuhi orang-orang Arab, kerana daerah-daerah dan kebebasan mereka dirampas, kemudiannya agama. Apa yang berlaku seterusnya akibat daripada perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini ialah Syi'ah telah bangkit membuat kekacauan dan huru-hara di sana-sini, sehinggalah mereka menjadi agak kuat di masa pemerintahan dinasti Dalamit. Dan di masa pemeritahan Raja Safavid, mereka ini mendapat pengiktirafan dan dikenali sebagai golongan Syi'ah dan orang-orang Iran penganut agama Zorastrian masih menggelarkan diri mereka sebagai Syi'ah.

Sesuatu Yang Tidak Masuk Akal Mengaitkan Abdullah bin Saba' Dengan Syiah
Dipendekkan cerita, agama Syi'ah adalah agama politik yang dipelopori oleh seorang Yahudi yang bernama Abdullah bin Saba'. Jika tidak, sudah tentu tiada perkataan "Syi'ah" wujud di dalam Islam dan nenek moyang saudara, yakni Rasulullah SAWAW tidak mengetahui langsung perkataan "Syi'ah", kerana ia adalah perbuatan yang bertentangan dengan kehendaknya, sebagai tindakan menyeleweng yang telah dibuat-buat, dan sebetulnya Syi'ah adalah sebahagian daripada agama dan keyakinan Israel.
Kerana alasan inilah saya hairan kenapa saudara meninggalkan cara kehidupan sebenar yang diredhai seperti yang dicontohkan oleh orang-orang yang menitiskan zuriat keturunan saudara, lalu mengikut jejak-jejak Yahudi dan juga segala bid'ah mereka. Walhal saudara adalah orang yang paling berhak sekali untuk menuruti al-Qur'an dan menjadi contoh dari datuk saudara Rasulullah SAWAW.

Shirazi: Saya tidak menyangka seorang yang terpelajar seperti saudara sanggup mengemukakan alasan yang hanya berdasarkan kepada hujjah yang palsu dan rapuh, yang hanya kaum Munafiqin, Khawarij (musuh Ali AS) dan musuh seperti Bani Umaiyyah sahaja yang melakukannya. Tidak masuk akal sama sekali apabila saudara mengaitkan Abdullah bin Saba' dengan Syi'ah. Abdullah bin Saba' (la'natullah) adalah seorang Yahudi dan menurut dari sumber Syi'ah, dia adalah seorang Munafiq dan patut dikutuk dengan sekeras-kerasnya. 1Jika dia kelihatan untuk seketika sahaja bersama Ali AS sebagai kawan, apakah kaitan dia dengan Syi'ah? Jika seekor serigala diletakkan di dalam sekumpulan kambing; atau seorang pencuri di tempatkan di kalangan orang warak atau alim dan berdiri di atas mimbar atau di atas tangga masjid, dan menyakitkan Islam dan Muslim, patutkah kita memandang kepada orang yang warak dan alim yang lain dengan menggelar mereka sebagai pencuri dan pembohong? Hairan sekali saudara telah merendahkan agama Syi'ah yang adil dan menggelar mereka sebagai parti politik yang menurut keterangan saudara telah ditubuhkan pada masa khalifah Usman dan pelopornya adalah Abdullah bin Saba' (la'natullah).

Syi'ah Bukan Sebuah Parti Tetapi Sebuah Agama
Sebenarnya Syi'ah bukanlah sebuah parti, tetapi adalah sebuah agama, yang bukan dipelopori sebagaimana saudara katakan tadi di masa khalifah Uthman tetapi ia telah wujud dan dilahirkan melalui kata-kata dan perintah Rasulullah SAWAW semasa hayatnya walapun saudara berhujah dengan keterangan-keterangan palsu pihak musuh, namun saya sebaliknya, akan mengemukakan kepada saudara ayat al-Qur'an dan catatan-catatan dari ulama saudara sendiri untuk menerangkan kedudukan yang sebenarnya.


Pengertian Syi'ah Dan Keistimewaannya
Syi'ah, sebagaimana saudara semua tahu, bererti "Pengikut." Salah seorang ulama saudara yang paling terkemuka, Fairuzabadi di dalam"Qamusul Lughat", berkata,"Nama Syi'ah, biasanya bererti setiap orang yang bersahabat dengan Ali AS dan Ahlul Baitnya. Sekarang nama Syi'ah adalah khusus untuk mereka. Pengertian yang sama juga telah diberikan oleh Ibn Athir di dalam "Nehayatul Lughat."
Tetapi saudara telah menyalahtafsirkan perkataan Syi'ah, sama ada dengan sengaja atau tidak kerana ingin menonjolkan kesempurnaan ilmu mengenai sejarah dan tafsir, lalu berkata secara mudah tanpa memberikan apa-apa bukti bahawa pengikut Ali AS dan Ahlul Bait Rasulullah SAWAW wujud di masa khalifah Uthman dan pelopor mereka adalah Abdullah bin Saba', seorang Yahudi.

Kenyataan yang sebenar adalah sebaliknya. Menurut buku-buku dan juga tafsir saudara sendiri perkataan Syi'ah bermakna "Pengikut Ali bin Abi Talib AS" dan telah digunakan ketika Rasulullah SAWAW masih hidup lagi. Rasulullah SAWAW sendiri yang telah mengemukakan perkataan Syi'ah yang bermakna "Pengikut Ali bin Abi Talib AS" dan Allah SWT menyatakan dalam firmanNya,"Dan tiadalah yang diucapkan itu, menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diturunkan (kepada Muhammad SAWAW)." (53: 3,4)
Baginda memanggil pengikut Ali AS yakni Syi'ah sebagai "penyampai" dan "penyelamat."

Hafiz: Di manakah terdapatnya perkara tersebut? Kami tidak pernah melihatnya.

Shirazi: Kami telah melihatnya dan kami menganggap tidak wajar menyembunyikan yang haq. Adapun Allah telah menyatakan, kutukan terhadap mereka yang menyembunyikan yang haq dan menggelar mereka sebagai sahabat api neraka. Allah berfirman:
"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah Kami turunkan keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkan kepada manusia dalam al-Kitab itu dilaknati Allah dan dilaknati oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati." (2: 159)
Dan juga firmanNya:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah dan menjualnya dengan harga yang murah, mereka itu sebenarnya tidak memakan ke dalam perutnya melainkan api." (1: 174)

Hafiz: Sekiranya kami mengetahui yang benar dan kami menyembunyikannya, kami akan dikutuk sebagaimana yang disebut di dalam al-Qur'an.

Shirazi: Saya harap saudara semua memelihara dua ayat ini supaya tingkahlaku dan sikap tidak bertolak-ansur tidak akan menghalangi kita, dan perkara yang haq tidak akan tersembunyi......Hafiz Abu Nuaim Isfahani, adalah salah seorang ulama saudara unggul, ahli hadith, dan sarjana pengkaji. Ibn Khallakan telah memuji beliau di dalam bukunya "Affiyyatul A'yan." Beliau dianggap sebagai periwayat yang paling sahih yakni "huffaz," dan seorang ahli hadith yang amat terpelajar serta dicatatkan bahawa buku "Hilyatul Awliya" adalah di antara karyanya yang paling baik.

Salahuddin Khalil bin Albak Safdi menulis di dalam bukunya "Wafi bin Wafiyat" mengenai beliau. Kecemerlangan Hafiz Abu Nuaim sebagai ahli hadith amat dikenali, kerana ilmunya yang tinggi, ketaqwaan dan keikhlasan. Beliau menduduki tempat yang paling utama di dalam meriwayatkan dan juga pemahaman hadith. Bukunya yang paling baik adalah Hilyatul Awliya ditulis di dalam sepuluh siri yang mengandungi pecahan-pecahan dari dua Sahih, dengan tambahan hadith lain yang seolah-olah dia sendiri mendengar dengan telinganya. Mohammad bin Abdullah el-Khatb memujinya di dalam bukunya Rijal Mishkat al-Masabih dengan mengatakan bahawa dia adalah salah seorang di antara para ahli hadith yang terkemuka, yang mana hadith-hadith riwayatnya amat dipercayai dan menjadi rujukan dan sangat dihormati. Usianya menjangkau sembilan puluh enam tahun.

Pendek kata, orang tua, ulama dan ahli hadith yang dihormati ini adalah ulama yang menjadi kebanggaan di kalangan saudara dan dianggap sebagai seorang yang terkemuka oleh ulama saudara sendiri. Beliau meriwayatkan hadith yang dipetik dari Abdullah bin Abbas menerusi sanad-sanad yang dipilihnya sendiri di dalam bukunya Hilyatul Awliya berhubung dengan wahyu berikut:
"Sesungguhnya mereka yang beriman dan membuat kebaikan, mereka adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka dari Tuhan mereka taman yang kekal, di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha akan Allah, itulah (balasan) bagi orang yang takutkan Tuhannya." (al-Bainiyyah: 6-8)

Rasulullah SAWAW bersabda bahawa ayat ini ditujukan kepada Ali AS:
"Hai Ali engkau adalah sebaik-baik ciptaan (khairul bariyyah) yang dimaksudkan di dalam ayat suci ini ditujukan kepada engkau, dan pengikut-pengikut engkau (Syi'ah). Pada hari kebangkitan nanti, engkau dan pengikut-pengikut Syi'ah engkau akan menduduki tempat sedemikian tinggi, yang Allah redha kepada engkau dan engkaupun redha akan Allah."


Kelebihan Syi'ah Ali AS Yang Lain

Jalaluddin Suyuti di dalam "Durrul Manthur" mencatatkan dari Abul Qasim Ali bin Hasan yang biasa dikenali sebagai Ibn Asakir Damishqi, yang telah memetik dari Jabir bin Abdullah Ansari, salah seorang sahabat besar Rasulullah SAWAW yang berkata, bahawa dia dan lain-lain sahabat sedang duduk bersama-sama dengan Rasulullah SAWA bila mana Ali bin Abi Talib AS masuk. Rasulullah SAWAW bersabda,"Aku bersumpah dengan nyawaku di tanganNya, sesungguhnya orang ini (Ali AS) dan pengikut-pengikut (Syi'ah)nya akan mendapat syafa'at di Hari Kebangkitan." Ketika itulah ayat tersebut diwahyukan.

Di dalam syarah (komentar) yang sama, Ibn Hadi mengambil daripada Ibn Abbas yang berkata, apabila ayat tersebut diwahyukan, Rasulullah SAWAW bersabda kepada Ali AS,"Engkau dan pengikut (Syi'ah) engkau akan datang pada Hari Kebangkitan nanti di dalam keadaan yang diredhai Allah dan Allah meredhai terhadap kalian."

Rasulullah SAWAW Bersabda,"Hai Ali, Engkau dan Syi'ahmu Adalah Sebaik-baik Makhluk."

Di dalam Bab II, "Sawaiq al-Muhriqah", Ibn Hajar mencatatkan Hafiz Jamaluddin Mohammad bin Yusuf Zarandi Madani (seorang faqih dan ulama di kalangan mazhab saudara) yang mengatakan, tatkala engkau dan pengikut-pengikut (Syi'ah) engkau akan datang pada Hari Pembalasan kelak di dalam keadaan diredhai Allah dan Allah redha terhadap kamu semua. Musuh-musuh engkau akan berasa cemburu dan tangan mereka akan dibelenggu ke leher mereka." Kemudian Ali AS bertanya siapakah musuhnya. Rasulullah SAWAW menjawab,"Orang-orang yang memusuhi engkau dan yang menghina engkau." Allamah Samhudi di dalam "Jawahirul", dengan pengesahan Hafiz Jamaluddin Zarandi Madani dan Nuruddin Ali bin Mohammad bin Ahnmad Maliki Makki yang terkenal sebagai Ibn Sabbagh, yang dianggap sebagai ulama yang berwibawa dari kalangan ulama saudara dan juga seorang ahli ilmu kalam, di dalam bukunya "Fusul al-Muhimmah", pada halaman 122, memetik daripada Abdullah bin Abbas bahawa, apabila ayat tersebut diwahyukan, Rasulullah SAWAW bersabda kepada Ali AS,"Engkau dan Syi'ahmu. Engkau dan merekalah yang akan datang di Hari Pembalasan kelak dengan penuh keredhaan dan kepuasan, manakala musuh-musuh engkau akan datang dengan kesedihan dan terbelenggu tangan-tangan mereka."

Mir Syed Ali Hamdani Syafie, salah seorang daripada ulama saudara yang terpercaya, menyebut di dalam bukunya "Mawaddatul Qurba." Juga Ibn Hajar, seorang yang terkenal sebagai anti-Syi'ah di dalam bukunya "Sawaiq al-Muhriqah" meriwayatkan daripada Ummul Mukminin Ummu Salamah, isteri Nabi SAWAW, bahawa Rasulullah SAWAW bersabda,"Hai Ali, engkau dan Syi'ahmu akan kekal di dalam syurga, engkau dan Syi'ahmu akan kekal di dalam syurga."

Seorang ulama yang terkemuka, Khawarazim Muaffaq bin Ahmad di dalam "Manqib"nya, Bab 19, meriwayatkan daripada Rasulullah SAWAW di atas pengesahan yang tidak dapat diragukan, bahawa baginda bersabda kepada Ali AS,"Di kalangan umatku, engkau adalah seumpama Isa al-Masih Ibn Mariam AS, yakni sebagaimana pengikut Nabi Isa AS yang telah berpecah kepada tiga kelompok iaitu, yang benar-benar beriman yang dikenali sebagai Hawariyyin, penentangnya iaitu orang-orang Yahudi dan satu lagi golongan yang melampaui batas, yang menyamakan beliau dengan sifat-sifat ketuhanan. Seperti itu juga umat Muslim, yang akan berpecah kepada tiga kelompok terhadap engkau. Salah satu dari mereka adalah Syi'ahmu, dan mereka inilah golongan yang benar-benar beriman. Yang lainnya adalah musuh-musuh engkau dan mereka itulah yang memungkiri janji-janji untuk taat setia kepadamu, dan yang ketiganya adalah golongan yang melampaui batas mengenai kedudukan engkau dan mereka adalah orang-orang yang menolak kebenaran serta tersesat. Jadi, engkau, hai Ali, dan juga Syi'ahmu akan berada di dalam syurga, dan juga orang-orang yang mencintaimu akan berada di dalam syurga sedangkan musuh-musuhmu dan mereka yang berlebih-lebihan terhadapmu akan berada di dalam neraka."

Keutamaan Syi'ah Diakui Dari Buku-buku Sunni

Pada ketika ini, Azan Isya' telah kedengaran dan para hadirin bersurai. Selepas solat, Moulavi Abdul Hal datang dengan membawa beberapa buah buku, termasuk syarah (komentar) Sayuti,"Mawaddatul Qurba", "Musnad" Imam Ahmad bin Hanbal dan "Manaqib" Khawarizmi, lalu membaca dengan kuat semua hadith-hadith yang telah saya sebutkan di dalam perbincangan tadi untuk membuktikan yang kesemuanya memang terdapat di dalamnya, dan ini membuatkan air muka mereka yang hadir mula berubah kerana terkejut. Sementara itu, di dalam buku,"Mawaddatul Qurba" mereka mendapatkan sebuah hadith yang lain sebagai tambahan dari dua hadith yang telah dikatakan tadi yang menyebutkan Rasulullah SAWAW bersabda,"Hai Ali, pada Hari Pembalasan nanti, engkau dan Syi'ahmu akan datang dengan penuh kepuasan dan keredhaan, sedangkan musuh engkau akan datang dengan kesedihan dan tangan-tangan yang terbelenggu."

Shirazi: Ini adalah di antara contoh hujah-hujah yang ringkas dan mudah yang dibenarkan oleh al-Qur'an dan juga hadith yang sahih, serta fakta-fakta sejarah yang terdapat di dalam kitab ulama-ulama saudara sendiri. Di sini, ada sedikit tambahan pada riwayat-riwayat yang begitu banyak yang terdapat di dalam buku-buku dan syarah Syi'ah. Jika saya dikehendaki menyebutkan, biarpun dari buku yang lain, selain dari yang berada di hadapan saudara itu, saya boleh sampaikan banyak lagi bukti-bukti di dalam perbincangan kita ini hingga keesokan hari, sekiranya diizinkan Allah SWT. Tetapi saya rasa sudah memadai dengan apa yang telah saya kemukakan di hadapan saudara untuk menjelaskan segala keraguan saudara terhadap Syi'ah. Supaya saudara semua tidak lagi memandang kami hanya berlandaskan tuduhan yang tidak berasas, sebagaimana kaum Khawarij, Nasibi, dan Umaiyyah. Ataupun mengemukakan ke hadapan orang-orang awam Muslim tuduhan-tuduhan yang palsu dengan tujuan untuk mengelirukan mereka dengan erti Syi'ah yang didakwa sebagai ciptaan seorang Yahudi yang dilaknati begitu juga Abdullah bin Saba.'

Para hadirin yang dihormati sekalian, kami orang-orang Syi'ah bukan pengikut Yahudi, tetapi pengikut-pengikut Mohammad SAWAW, dan bagindalah yang menggunakan perkataan Syi'ah sebagai pengikut-pengikut Imam Ali AS dan bukannya Abdullah bin Saba' yang terlaknat itu. Kami menganggap Abdullah bin Saba' adalah seorang munafik dan seorang yang terkutuk, dan kami tidak pernah menuruti mana-mana orang perseorangan atau kelompok yang tidak jelas serta tidak mempunyai hujah yang mantap berhubung keutamaannya atau mereka. Saudara telah menyebutkan bahawa selepas Uthman sahajalah perkataaan Syi'ah ini diwujudkan sebagai pengikut Ali AS. Sebetulnya, ketika hayat Rasulullah SAWAW lagi, telah ada ramai sahabat Rasulullah SAWAW digelar sebagai Syi'ah. Hafiz Abu Hatim Razi di dalam bukunya "Az-Zeenat" yang disusun untuk menerangkan erti beberapa perkataan dan juga ungkapan-ungkapan di kalangan para ulama ketika itu, menyatakan bahawa perkataan Syi'ah digunakan untuk pertama kali di dalam Islam ketika hayat Rasulullah SAWAW. Ia telah digunakan untuk merujuk kepada empat sahabat yang unggul, iaitu Abu Dzar Ghiffari, Salman Farsi, Miqdad bin Aswad Kindi dan Ammar bin Yassir. Banyak lagi hadith-hadith yang menunjukkan dengan maksud yang sama.

Sekarang, terserahlah kepada saudara semua untuk merenungkan bagaimana mungkin di masa Rasulullah SAWAW, empat daripada sahabatnya yang dicintai oleh Allah SWT dan RasulNya digelar sebagai Syi'ah. Sedangkan, jika benar Rasulullah SAWAW menganggapnya satu bid'ah, kenapakah baginda sendiri tidak melarang orang lain daripada menggunakannya? Yang sebenarnya mereka telah mendengar dari Rasulullah SAWAW sendiri bahawa Syi'ah Ali AS adalah penghuni syurga dan mereka berbangga dengannya dan secara terang-terangan menyatakan diri mereka sebagai Syi'ah.

Kedudukan Salman, Abu Dzar, Miqdad dan Ammar

Selain daripada ini, saudara mengalihkan perhatian terhadap perbuatan para sahabat untuk menguatkan hujah saudara dan mengaitkan sebuah hadith dari Rasulullah SAWAW dengan berkata,"Sesunggunya sahabat-sahabatku seperti bintang-bintang di langit, siapa jua di antara mereka yang kamu turuti, kamu pasti terpimpin." Abu Fida di dalam kitab sejarahnya menulis, bahawa empat orang sahabat Rasulullah SAWAW ini telah menolak sebagai juga Ali AS daripada memberikan bai'ah kepada Abu Bakr. Jadi, kenapa saudara tidak mempertimbangkan tindakan mereka yakni penolakan mereka untuk membai'ah Abu Bakr, sebagai suatu ijtihad penolakan mereka untuk membai'ah Abu Bakr, walhal ulama saudara sendiri telah menulis, mereka adalah orang-orang yang dicintai oleh Allah SWT dan RasulNya. Kami menuruti mereka, sebagaimana mereka menuruti Ali AS. Dan melihat dari hadith-hadith saudara sendiri, terbukti kami berada di jalan yang terpimpin.

Dengan izin saudara, dan memandangkan masa yang begitu suntuk, saya akan membawakan beberapa buah hadith untuk membantu menguatkan bantahan saya. Abu Nuaim Isfahani di dalam "Hilyatul Awliya", Jilid I, halaman 172, dan Ibn Hajar Makki hadith yang kelima dari empat puluh hadith di dalam bukunya "Sawaiq al-Muhriqah" memuji Ali AS dari hadith yang telah dipetik oleh Tirmidzi dan al-Hakim, daripada Buraidah bahawa Rasulullah SAWAW bersabdaa,"Sesungguhnya Allah telah memerintahkanku yang Dia mencintai empat orang ini, dan telah memberitahuku yang Dia mencintai mereka." Bila orang-orang bertanya siapakah empat orang itu, baginda menjawab,"Ali bin Abi Talib, Abu Dzar, Miqdad, dan Salman."

Sekali lagi, Ibn Hajar di dalam hadithnya nombor: 39 telah meriwayatkan dari Tirmidzi dan al-Hakim daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAWAW bersabda,"Syurga tidak sabar untuk tiga orang ini, Ali, Ammar dan Salman." Sekarang tidakkah perilaku sahabat akrab Rasulullah SAWAW ini, yang dicintai oleh Allah SWT dan RasulNya, dan telah terjamin bagi mereka syurga, tidak mempunyai kedudukan autoriti sendiri agar dapat diangkat sebagai pemimpin bagi umat Muslim, dan amat bermanafaat bagi setiap yang sebanding seperti mereka? Tidakkah ianya sangat mengaibkan sepertimana dalam pandangan saudara, bahwa para sahabat hanyalah mereka yang telah ikut serta berperanan di Saqifah atau yang bersetuju dengannya. Sebaliknya tidak, sahabat yang lain yang menentang strategi di sebalik Saqifah, yang tidah boleh dipercayai dan tidak memberi sebarang kesan dan berfaedah. Dan jika begitulah yang saudara kehendaki, hadith yang telah saudara sampaikan itu sepatutnya berbunyi,"Sesungguhnya beberapa sahabatku adalah seperti bintang-bintang langit......." Ini supaya kalian akan terhindara dari semua kemusykilan yang sedang kalian hadapi sekarang ini, dan tidak akan menganggap kami terkeluar dari jalan yang benar.

Sebab-sebab kenapa Orang Iran Condong Kepada Syi'ah
Di Waktu Khalifah Dalamit, Ghazan Khan dan Shah Khuda Banda


Saudara tidak sepatutnya mengatakan Syi'ah adalah agama politik dan orang Iran Zoroaster menerimanya kerana hendak menyelamatkan diri mereka dari ditakluki oleh orang Arab. Saudara mengucapkan perkataan yang sedemikian; hanya kerana mengikut secara membuta tuli orang-orang yang terdahulu dari saudara, walhal telah saya terangkan dan membuktikannya, iaitu Syi'ah adalah ajaran agama Islam, sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAWAW kepada pengikutnya. Oleh sebab itu kami menuruti jejak Ali AS dan keturunannya AS yang suci, dan kami mengamalkan apa yang telah disampaikannya oleh Rasulullah SAWAW dan menganggap diri kami sebagai "orang-orang yang terpimpin." Apa yang nyata ialah mereka yang tidak mempunyai sikap mempersetujui, yang tidak selari dengan pesanan Rasulullah SAWAW, membina asas-asas keagamaan yang terseleweng di Saqifah.
Mereka merupakan tokoh-tokoh politik yang berkepentingan, dan bukan dari kalangan pengikut keluarga Rasulullah SAWAW. Oleh kerana itu terdapat juga nas-nas yang nyata dari buku saudara sendiri yang sahih, maka kami wajib menuruti keturunan Rasulullah SAWAW dan Ahlul Baitnya. Dan sebaliknya, tidak terdapat sebarang nas yang menganjurkan agar kita melakukan sebagaimana yang dibuat oleh orang-orang yang berkumpul di Saqifah, yang telah melantik seorang khalifah.

Jika saudara boleh mengenepikan perasaan permusuhan saudara dan mempertimbangkan perkara ini dengan sebaik-baiknya, saudara akan mengakui bahawa sekiranya terdapat perbuatan atau tingkahlaku seseorang individu atau satu kumpulan berdasarkan motif politik, yang kemudian berhasil mencapai matlamat mereka atau sebaliknya, saudara sudah pasti mereka akan kembali kepada kebenaran yang sejati.
Walau bagaimanapun setelah ribuan tahun berlalu kami masih berpegang kepada kepercayaan kami, yang membahayakan diri kami dan kami terus menegakkan bendera Syi'ah dan kami merasa bangga kerana dapat mengekalkan kalimah "Aliyyun Waliyyullah" selepas "La Ilaha-illallah, Mohammad Rasulullah."

Dan ianya bukanlah sesuatu yang tersembunyi, apabila orang-orang Iran bertanya mengenai sesuatu perkara dan setelah mereka yakin terhadap keutuhannya, lalu mereka menerimanya sebagaimana mereka telah menerima Islam sewaktu Iran telah ditawan oleh orang-orang Arab. Mereka tidak dipaksa untuk melakukannya, tetapi mereka meninggalkan agama Zoroaster mereka dan memeluk Islam dengan ikhlas. Begitu juga apabila mereka telah menyakini hujah-hujah dan pengorbanannya yang tidak ternilai, yakni Ali AS adalah lebih wajar diikuti, lalu mereka menerima Syi'ah dengan hati yang terbuka. Jadi, bertentangan dengan anggapan para penulis yang tidak berhati-hati, orang-orang Iran tidak hanya melahirkan perasaan cinta dan keyakinan mereka kepada Ali AS semasa khalifah Harun al-Rasyid atau al-Makmun Rasyid sahaja tetapi hati mereka telah dipenuhi dengan rasa kecintaan kepada Ali AS semenjak dari saat Rasulullah SAWAW masih hidup lagi. Ini adalah disebabkan setiap orang Iran yang pergi ke Madinah dan kemudiannya memeluk agama Islam, di atas dasar hikmah dan pemikiran, melihat kebenaran Ali AS dan mereka mematuhi perintah dan pimpinan Rasulullah SAWAW lantas mendampingkan diri mereka dengan Ali AS. Dia telah mencapai ke tahap ketinggian Iman. Ulamak dari kedua golongan sepakat menulis iaitu Rasulullah SAWAW bersabda,"Salman adalah dari kalangan kami, Ahlul Bait." Dengan sebab itulah dia dipanggil sebagai Salman Mohammadi, dan dia secara terang-terangan mengakui sebagai penyokong kuat Ali AS, dan terkenal sebagai seorang yang paling keras menentang peristiwa yang terjadi di Saqifah. Sekarang, sekalipun hanya dengan menuruti panduan dari kitab-kitab saudara sendiri, kami tetap akan mengikutinya, dan terbukti kami berada di atas jalan yang lurus. Alasan untuknya adalah dia pernah membaca ayat-ayat suci al-Qur'an dan mendengar sabda dari Rasulullah SAWAW berkenaan Ali AS. Beliau benar-benar memahami bahawa ketaatan kepada Ali AS bererti ketaatan kepada Rasulullah SAWAW dan mentaati Rasulullah SAWAW bererti mentaati Allah SWT. Beliau telah mendengar berulang kali pesanan Rasulullah SAWAW sebagai bersabda,"Sesiapa yang taat kepada Ali, mentaati aku, dan sesiapa yang taat kepada aku, mentaati Allah SWT, sesiapa yang memusuhi Ali, bermusuhan dengan aku, dan sesiapa yang bermusuhan dengan aku, bermusuhan dengan Allah SWT." Setiap orang Iran, tidak kira siapa mereka, yang pergi ke Madinah dan memeluk Islam, sama ada di masa Rasulullah SAWAW hidup mahupun sesudahnya, mentaati perintah Rasulullah SAWAW. Kerana alasan inilah, khalifah tidak mampu untuk bertolak ansur lalu menggariskan beberapa syarat yang ketat kepada orang Iran. Kesusahan dan kepayahan ini akhirnya telah memupuk perasaan benci dan permusuhan di dalam hati mereka. Mereka sering menyoal kenapakah khalifah terus menghalang mereka dari mempertahankan prinsip Islam yang hak, yang mana nas mengenainya telah diberikan oleh Rasulullah SAWAW.


Orang-orang Iran Tertarik Dengan Layanan Ali AS

Selain dari itu, apa yang menarik hati orang-orang Iran, ialah layanan dan keistimewaan yang diberikan oleh Ali AS terhadap puteri-puteri Iran ketika mereka dibawa sebagai tawanan perang. Melalui beberapa pertanyaan dan penyelidikan, hati mereka kemudiannya disemai dengan perasaan kecintaan terhadap Ali AS, dan keluarganya yang dizalimi.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah, sewaktu tawanan perang Madayen (Taesfun) dibawa ke Madinah, khalifah yang kedua (Umar al-Khattab) telah mengarahkan semua tawanan perempuan dijadikan hamba kepada orang-orang Muslim. Amirul Mukminin Ali AS menentang perbuatan demikian dan berkata bahawa puteri-puteri tadi dikecualikan dan perlu dihormati. Dua dari tawanan tersebut adalah puteri kepada Raja Iran Yazdjard, dan tidak boleh diperlakukan seperti hamba. Khalifah bertanyaa apakah yang harus dilakukan terhadap mereka. Ali AS berkata, setiap mereka diberbolehkan untuk memilih mengikut keinginan mereka, seorang suami dari kalangan Muslim. Mereka berdua kemudiannya berdiri dan melihat ke sekitar para sahabat. Shahzanan telah memilih Mohammad bin Abu Bakar (yang telah diperlihara oleh Ali AS), manakala puteri Shaher Banu telah memilih Imam Husayn AS, cucu kepada Rasulullah SAWAW, dan mereka telah dibawa pulang selepas diijab-kabulkan. Shahzanan, isteri kepada Mohammad bin Abu Bakar, telah melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Qasim Faqih, bapa kepada Ummu Farwah, ibu kepada Imam kami yang keenam, Imam Ja'far al-Sadiq AS. Imam Ali Zainal Abidin AS, Imam keempat kami telah dilahirkan oleh Shaher Banu. Jadi, kewujudan Syi'ah tidak ada kena mengena dengan masa kekuasaan Harun al-Rasyid dan al-Makmun ataupun pemerintahan Dinasti Safavid di Iran, sebagaimana yang saudara sebutkan tadi. Ia adalah satu propaganda tujuh kurun sebelum kerajaan Safavid (iaitu Abad 4 Hijrah) sewaktu Dalamit (Ale Bawieh) diperintah di bawah Ghazan Khan Moghul (Nama Islamnya ialah Mahmud). Ketika itu, keyakinan kepada Ahlul Bait, dikenali umum dan Syi'ah tumbuh dan mulai terkenal. Tetapi selepas kematiannya pada tahun 707 Hijrah, Mohammad Shah Khan Khuda Banda mengambilalih pemerintahan Iran. Beliau bertanggungjawab mengatur siri-siri perbincangan di antara Allamah al-Hilli, seorang ulama Syi'ah yang berpengetahuan luas dan bijaksana dengan Khoja Nizamuddin Abdul Malik Maraghi, Qadhi Qudat (Ketua Hakim), seorang ulama besar Sunni pada masa itu.

No comments:

Post a Comment