Monday, October 17, 2011

Dialog Rasulullah S.A.W Dengan Abdullah Bin Salam

(Ketua Yahudi Khaibar)
Terjemahan: Hj. Akbar Ali, MA
____________________________________________________________
             
      
      Daripada Ibn Abbas bahawa sesungguhnya apabila Allah mengutus Muhammad s.a.w, maka Dia telah memerintahkannya supaya menyeru makhluk kepada syahadah tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagi-Nya. Orang ramai segera menyahut seruannya, lantas baginda s.a.w. memberi peringatan kepada mereka. Jibrail menyuruh baginda s.a.w.  supaya menulis surat kepada Ahlu l-Kitab iaitu Yahudi dan Nasrani. Jibrail melakukan imlak ke atas  suratnya. Penulisnya pada masa itu ialah Sa‘d bin Abu Waqqas, maka  baginda s.a.w. telah mengutus surat kepada Yahudi Khaibar[1]:

       Bismillahi r-Rahmani-r-Rahim daripada Muhammad bin Abdullah al-Ummiyyu, Rasulullah kepada Yahudi Khaibar.

       Amma ba‘d. Adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya bumi adalah milik Allah. Dia mewariskannya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya. Balasan yang baik  bagi mereka yang bertakwa. Tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Beliau menghantar surat itu kepada Yahudi Khaibar. Setelah suratnya sampai kepada mereka, maka surat itu dibawa kepada ketua mereka bernama Abdullah bin Salam: Ini adalah surat Muhammad kepada kita, anda bacalah kepada kami, lalu Abdullah membacanya dan berkata kepada mereka: Apakah yang kamu dapati di dalam surat ini?

      Mereka berkata: Kami dapati bukti (alamat)nya di dalam Taurat. Jika inilah Muhammad yang diberitahu oleh Musa, Daud dan Isa a.s, maka dia akan membekukan Taurat, menghalalkan kepada kita apa yang telah diharamkan ke atas kita sebelumnya, sekiranya kita tetap di atas agama kita adalah lebih baik bagi kita. Abdullah bin Salam berkata: Wahai kaum! Kamu telah memilih dunia ke atas akhirat dan azab ke atas rahmat?

       Mereka menjawab: Tidak. Abdullah berkata: Kenapa kamu tidak mengikuti pendakwah Allah? Mereka berkata: Wahai Ibn Salam! Kami tidak mengetahui bahawa Muhammad itu benar tentang apa yang dikatakannya. Abdullah berkata: Jika begitu, kita akan bertanya kepadanya tentang Pencipta dan makhluk-Nya, nasikh dan mansuh. Sekiranya dia seorang nabi, maka dia akan menerangkan kepada kita sebagaimana dilakukan oleh para nabi sebelumnya.

       Mereka berkata: Wahai Ibn Salam! Pergilah anda kepada Muhammad sehingga anda menentang percakapannya dan anda lihat bagaimana dia memberi jawapan kepada anda. Abdullah berkata: Kamu adalah kaum yang jahil. Sekiranya inilah Muhammad yang telah diberitahu kepada kita oleh Musa, Daud dan Isa ibn Maryam, maka dia adalah penutup para nabi. Jika manusia dan jin berkumpul untuk memberi jawapan walaupun satu kalimat atau satu ayat kepada Muhammad, nescaya mereka tidak mampu dengan izin Allah. Mereka berkata: Anda memang benar wahai Ibn Salam, lantaran itu apakah muslihatnya?

      Abdullah berkata: Aku akan mengguna Taurat, aku akan membawa Taurat kepadanya, aku akan menyalin seribu empat masalah daripadanya. Setelah itu Abdullah bin Salam berjumpa dengan Nabi s.a.w pada hari Isnin selepas solat subuh. Abdullah berkata: Salam ke atas anda wahai Muhammad!. Nabi s.a.w bersabda: Ke  atas mereka yang mengikut petunjuk, rahmat Allah dan berkat-Nya. Siapakah anda? Abdullah menjawab: Aku ialah Abdullah bin Salam daripada ketua-ketua Bani Israel di kalangan mereka yang telah membaca Taurat dan aku adalah wakil kaum Yahudi kepada anda. Bersamaku beberapa ayat daripada Taurat supaya anda menerangkan kepada kami dan kami melihat anda daripada mereka yang baik-baik.

       Nabi s.a.w bersabda: Segala puji bagi Allah di atas nikmat-Nya wahai Ibn salam! Adakah anda datang kepada kami sebagai seorang yang  bertanya atau sebagai seorang yang degil?  Abdullah menjawab: Sebagai seorang yang bertanya wahai Muhammad!. Baginda s.a.w. bersabda: Adakah di atas kesesatan atau di atas pertunjuk? Abdullah menjawab: Malah di atas pertunjuk wahai Muhammad!. Maka Nabi s.a.w bersabda: Bertanyalah apa yang anda kehendaki. Abdullah berkata: Aku sedar wahai Muhammad! Beritahu kepada aku tentang anda, adakah anda seorang nabi atau seorang rasul?  Baginda s.a.w. bersabda: Aku adalah nabi dan rasul sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Mukmin(40):78 “Di antara mereka ada yang kami ceritakan kepada mu dan di antara mereka   (pula) ada yang kami tidak ceritakan kepada mu”.

       Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu kepadaku: adakah Allah telah bercakap kepada anda sebelumnya? Baginda s.a.w. bersabda: Tidak ada seorang hamba yang Allah bercakap kepadanya melainkan secara wahyu atau di sebalik tabir. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku: adakah anda menyeru kepada agama anda atau kepada agama Allah? Baginda s.a.w. bersabda: Malah tidak ada agama bagi aku selain daripada agama Allah.

       Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku: kepada siapakah anda dakwahkan? Baginda s.a.w. bersabda: Kepada Islam dan Iman kepada Allah. Abdullah berkata: Apakah Islam? Baginda s.a.w. bersabda: Syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagi-Nya. Sesungguhnya Muhammad adalah hamba-Nya dan rasul-Nya, sesungguhnya Kiamat akan berlaku tanpa syak. Sesungguhnya Allah akan membangkitkan mereka yang berada di dalam kubur. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad!: Beritahu aku berapakah agama bagi Allah Tuhan semesta alam?

      Baginda s.a.w. bersabda: Satu agama, Allah adalah satu, tiada sekutu bagi-Nya. Abdullah berkata: Apakah agama Allah? Baginda s.a.w. bersabda: Islam. Abdullah berkata: Adakah para nabi sebelum anda beragama dengannya? Baginda s.a.w. bersabda: Ya. Abdullah berkata: Bagaimana dengan syariat-syariat? Baginda s.a.w. bersabda: Syariat adalah bermacam-macam sebagaimana telah berlalu kepada mereka yang terdahulu. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad!: Beritahu aku tentang syurga adakah mereka memasukinya dengan Islam atau Iman atau amal?
      
      Baginda s.a.w. bersabda: Di antara mereka ada yang memasukinya dengan ketiga-tiganya iaitu bagi seorang muslim, mukmin dan beramal. maka dia memasuki syurga dengan tiga amalan atau dia seorang Nasrani atau seorang Yahudi, maka dia menjadi muslim beriman dengan Allah, membuang kekafiran daripada hatinya, lalu dia meninggal dunia di tempatnya tanpa meninggal mana-mana amalan, maka dia adalah daripada penghuni syurga itu adalah iman tanpa amalan. Bagi seseorang Yahudi atau Nasrani yang bersedekah atau melakukan infak kepada selain daripada zat Allah, maka dia adalah di atas kekafiran dan kesesatan, menjadi penyembah makhluk bukan khalik.

       Jika dia meninggal dunia di atas agamanya, maka dia adalah di atas amalannya di neraka pada hari Kiamat,  kerana Allah tidak akan menerima melainkan daripada mereka yang bertakwa. Abdulah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku adakah kitab diturunkan ke atas anda? Baginda s.a.w. bersabda: Ya. Abdullah berkata: Kitab yang mana satu? Baginda s.a.w. bersabda: Furqan.

      Abdullah berkata: Kenapa Tuhan anda menamakannya dengan Furqan? Baginda s.a.w. bersabda: Kerana ia mempunyai ayat-ayat dan surah-surah yang berasingan diturunkan bukan secara alwah (loh-loh) dan mashaf berbanding dengan Taurat, Injil dan Zabur yang diturunkan sebahagiannya di alwah dan kertas-kertas.  Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku: manakah permulaan al-Qur’an? Baginda s.a.w. bersabda: Permulaan al-Qur’an adalah Bismillahi r-Rahmani r-Rahim.

       Abdullah berkata: Apakah tafsir huruf Abjad Hawwaz? Baginda s.a.w. bersabda: Al-Alif adalah aalaa’ Allah (nikmat Allah). Al-Ba’ adalah bahaa’ Allah (cahaya Allah). Al-Jim adalah jamalu l-Lah (kecantikan Allah). Al-Daal adalah dinu l-Lah (agama Allah). Al-Haa’ adalah al-Hawiyah (neraka). Al-Wau adalah wailun li-ahli al-Nar (celakalah bagi penghuni neraka). Adapun al-Zai adalah zawiyah  fi al-Nar (sudut neraka).

       Abdullah berkata: Beritahu aku tentang empat perkara yang Allah telah menjadikan mereka dengan tangannya? Baginda s.a.w. bersabda: Allah telah menjadikan syurga Adan dengan tangan(kekuasaan)-Nya, menanam pokok Tuba di syurga dengan tangan-Nya, menjadikan Adam a.s dengan tangan-Nya dan menulis Taurat dengan tangan-Nya.

       Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Siapakah yang telah memberitahu anda semua ini? Baginda s.a.w. bersabda: Jibrail. Abdullah berkata: Jibrail daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Mikail.  Abdullah berkata: Mikail daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Israfil. Abdullah berkata: Israfil daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Lauh Mahfuz. Abdullah berkata: Lauh daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada al-Qalam. Abdullah berkata: Al-Qalam daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Tuhan semesta alam. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad.

Abdullah berkata: Beritahu aku tentang Jibrail: adakah ia daripada jenis  wanita atau lelaki. Baginda s.a.w. bersabda: Daripada jenis lelaki, bukan daripada jenis wanita. Abdullah berkata: Apakah makanan dan minumannya? Baginda s.a.w. bersabda: Makanannya adalah tasbih dan minumannya adalah tahlil. Abdullah berkata: Anda memang benar.

Abdullah berkata: Beritahu aku berapakah panjangnya? Baginda s.a.w. bersabda: Ia seperti malaikat lain. Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Ia mempunyai lapan puluh perwatakan. Kisah Ja‘dah dan Hilal adalah di depannya, bersinar cahayanya di kalangan malaikat seperti sinaran cahaya di malam yang gelap. Ia mempunyai dua puluh empat sayap kehijauan yang disaluti permata delima dan  dihiasi pula dengan mutiara serta di atasnya kalung. Lapisannya adalah rahmat, butang bajunya adalah kekeramatan, belakangnya adalah ketenangan, bulunya adalah kekuningan, dahi yang terang berhidung mancung, berjanggut, berpendirian  segak, tidak makan dan minum, tidak jemu dan lupa. Dia melaksanakan perintah Allah sehingga hari Kiamat. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! 

       Abdullah berkata: Apakah satu, apakah dua, apakah tiga, apakah  empat, apakah  lima, apakah enam, apakah tujuh, apakah lapan, apakah sembilan, apakah sepuluh, apakah  sebelas, apakah  dua belas, apakah tiga belas, apakah empat belas, apakah lima belas, apakah enam belas,  apakah tujuh belas, apakah lapan belas, apakah sembilan belas, apakah  dua puluh, apakah dua puluh satu, apakah dua puluh dua, apakah dua puluh tiga, apakah dua puluh empat, apakah dua puluh lima, apakah dua puluh enam, apakah dua puluh tujuh, apakah dua puluh lapan, apakah dua puluh sembilan, apakah tiga puluh, apakah empat puluh, apakah lima puluh, apakah enam puluh, apakah tujuh puluh, apakah lapan puluh, apakah sembilan puluh sembilan, dan apakah seratus?

       Baginda s.a.w. bersabda: Ya, wahai Ibn Salam! Adapun satu, maka ia adalah Allah Yang Satu, Perkasa, tiada sekutu bagi-Nya, tiada teman wanita dan tiada mempunyai anak, menghidupkan dan mematikan. Pada tangan-Nya kebaikan dan Dia berkuasa di atas setiap sesuatu.

       Adapun dua, maka ia adalah Adam dan Hawa, sepasang suami isteri di syurga iaitu sebelum mereka berdua dikeluarkan daripadanya. Adapun tiga, maka ia adalah Jibrail, Mikail dan Israfil. Mereka adalah ketua-ketua malaikat dan mereka di bawah perintah Tuhan semesta alam. Adapun empat, maka ia adalah Taurat, Injil, Zabur dan Furqan. Adapun lima, maka ia telah diturunkan ke atas aku dan umat aku lima solat yang tidak diturunkan kepada mereka sebelum aku dan tidak difardukan ke atas umat selepas aku kerana tiada nabi selepas aku. Adapun enam,  adalah Allah telah menjadikan langit dan bumi dalam enam hari. Adapun tujuh, tujuh langit yang kukuh seperti firman-Nya Surah al-Naba’ (78):12 “Dan kami bangun di atas kamu tujuh langit yang kukuh”. Adapun lapan ialah firman-Nya Surah al-Haqah (69):17 “Dan pada hari itu lapan malaikat membawa Arasy Tuhanmu di atas (kepala) mereka”.

       Adapun sembilan firman-Nya di dalam Surah al-Isra’ (11):101 “Sesungguhnya kami telah memberi kepada Musa sembilan ayat (mukjizat) yang nyata”.

       Adapun sepuluh ialah firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah (2):196)“Itulah sepuluh (hari) yang sempurna”. Adapun sebelas adalah kata-kata Yusuf kepada bapanya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Yusuf ((12):4 “(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada bapanya: Wahai bapaku sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang”.          

       Adapun dua belas, setiap tahun adalah dua belas bulan, iaitu juga kata-kata Yusuf dalam Surah Yusuf (12):4 “matahari dan bulan ku lihat semuanya  sujud kepadaku”.

       Adapun tiga belas, maka ia adalah saudara-saudara Yusuf. Matahari dan bulan adalah ibu dan bapa. Empat belas adalah empat belas lampu daripada cahaya yang tergantung di antara ‘Arasy dan Kerusi, panjang setiap lampu sama dengan perjalanan seratus tahun. Lima belas adalah al-Furqan yang diturunkan dalam masa lima belas hari secara mufassalat selain  pada bulan Ramadhan yang diturunkan al-Qur’an sebagai pertunjuk kepada manusia.

       Enam belas adalah enam belas saf malaikat berlingkar di sekeliling ‘Arasy sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Zumar(39): 79 “berlingkar di sekeliling Arasy”.

       Tujuh belas adalah  tujuh belas ialah nama-nama Allah yang tertulis di antara syurga dan neraka. Tanpanya, maka neraka membakar mereka yang berada di langit dan di bumi. Lapan belas adalah lapan belas hijab daripada cahaya yang tergantung di antara Kerusi dan hijab-hijab. Tanpanya bukit-bukit yang tinggi akan menjadi cair, manusia dan Jin akan terbakar akibat cahaya Allah.
       Abdullah berkata: Anda memang benar, wahai Muhammad!. Baginda s.a.w. bersabda: Sembilan belas adalah Saqar sebagaimana firman-Nya Surah al-Muddathir (74):28-30 “Saqar itu tidak meninggal dan tidak membiarkan. Pembakar kulit manusia. Di atasnya ada sembilan belas (malaikat penjaga)”.

       Dua puluh adalah kerana Zabur diturunkan kepada Daud dalam masa dua puluh hari selain daripada bulan Ramadhan[2]. Firman-Nya di dalam Surah al-Isra’ (17): 55  Dan kami berikan Zabur kepada Daud”.

       Dua puluh satu adalah hari kelahiran Sulaiman bin Daud. Bukit-bukit bertasbih bersamanya. Dua puluh dua adalah  hari pengampunan kepada Daud, dan hari Allah melembutkan besi untuknya bagi membuat baju besi. Dua puluh tiga adalah hari kelahiran Isa bin Maryam dan hari turunnya hidangan dari langit[3]. Dua puluh empat adalah hari Allah bercakap-cakap dengan Musa. Dua puluh lima adalah hari Allah membelah laut untuk Musa dan Bani Israel. Dua puluh enam Allah menurunkan Taurat kepada Musa. Dua puluh tujuh adalah hari ikan paus memuntahkan Yunus dari perutnya. Dua puluh lapan Allah mengembalikan penglihatan Ya‘qub. Dua puluh sembilan Allah mengangkat Idris ke tempat yang tinggi. Tiga puluh adalah firman-Nya di dalam Surah al-A‘raf (7):142 “dan telah kami janjikan kepada Musa tiga puluh malam dan kami sempurnakan jumlah itu dengan sepuluh,maka sempurnalah  waktu yang telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam”.

       Lima puluh adalah lima puluh hari bersamaan lima puluh ribu tahun. Enam puluh adalah kerana bumi mempunyai enam puluh jenis. Tujuh puluh adalah kerana Musa telah memilih tujuh puluh orang lelaki. Lapan puluh adalah kerana peminum arak disebat lapan puluh kali selepas ia diharamkan. Sembilan puluh sembilan adalah firman-Nya Surah al-Sad (38):23 “Sesungguhnya saudaraku ini mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing”.

       Seratus adalah firman-Nya Surah al-Nur(24): 2 “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari kedua-duanya seratus sebatan”.

       Abdullah berkata: Anda memang benar, wahai Muhammad! Beritahu aku tentang Adam: bagaimana dia diciptakan dan daripada apakah  diciptakannya?

       Rasulullah s.a.w. bersabda: Ya, sesungguhnya Allah s.w.t dengan segala pujian terhadap-Nya, Maha Suci nama-nama-Nya dan tiada tuhan selain daripada-Nya yang telah menciptakan Adam daripada tanah. Tanah yang berasasl daripada buih dan buih dari ombak. Manakala ombak berasal dari laut dan laut dari kegelapan. Kegelapan daripada cahaya dan cahaya daripada huruf dan huruf daripada ayat. Ayat daripada bentuk dan bentuk daripada delima dan delima dari kun dan kun dari tiada sesuatu (la syai’).

       Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku berapakah malaikat bagi seorang hamba Allah? Baginda s.a.w. bersabda: Setiap orang hamba mempunyai dua malaikat. Satu malaikat di kanannya dan satu malaikat di kirinya. Pada kanannya menulis kebaikan sementara pada kirinya menulis kejahatan. Abdullah berkata: Di manakah tempat duduk dua malaikat, apakah al-Qalam mereka berdua, bekas dakwat mereka berdua dan lauh mereka berdua?

       Rasulullah s.a.w. bersabda: Tempat duduk mereka berdua adalah di atas kedua bahunya, al-Qalam mereka berdua adalah lidahnya, bekas dakwat mereka berdua adalah kerongkongnya. Dakwat mereka berdua adalah air liurnya. Lauh mereka berdua adalah hatinya. Mereka menulis amalan-amalan seseorang hamba sehingga kematiannya. Allah berfirman Surah al-Isra’ (17):14 “Bacalah kitabmu dan cukuplah dirimu pada waktu itu sebagai penghisab terhadapmu[4].


[1] Syeikh al-Mufid, al-Ikhtisas, hlm. 42-48.
[2] Al-Kulaini,  al-Kafi,  iv,  157
[3] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  iv,  91
[4] Syeikh al-Mufid, al-Ikhtisas, hlm. 42-48

No comments:

Post a Comment