Tuesday, October 18, 2011

FITNAH AKHIR ZAMAN DI SYAM ?

Para sahabat dan tabi‘in telah meriwayatkan banyak hadis Nabi Saw tentang fitnah yang akan terjadi setelah kewafatannya. Dalam hal ini, Huzaifah bin al-Yamani ra. terkenal di kalangan para sahabat sebagai orang yang paling banyak mengetahui tentang fitnah, kerana beliau sering bertanya kepada Nabi Saw tentangnya dan menghafal apa yang dikatakan oleh Nabi. Sehingga Huzaifah pernah berkata:

“Tidak seorangpun yang disebut sebagai pembawa fitnah melainkan jika aku mahu aku dapat menyebutkan namanya dan nama ayahnya serta tempat tinggalnya sampai hari kiamat. Semua itu telah diajarkan kepadaku oleh Rasulullah Saw”. Beliau juga pernah berkata: “Jikalau aku memberitahu kalian perkara yang aku tahu, nescaya kalian tidak perlu lagi mengintaiku pada waktu malam”, iaitu kalian akan serta-merta membunuhku tanpa menunggu sampai malam tiba.

Ya akhi, jika dikaji hadis-hadis yang membicarakan perihal fitnah-fitnah ini maka kita akan menemukan persamaan dari segi sifat fitnah ini, iaitu: Pertama; beritanya telah mencapai tahap mutawatir (diperakui). Kedua; fitnah ini bersifat umum dan meliputi semua umat Islam, sama ada dari segi politik, kebudayaan dan ekonomi mereka.

Sehubungan ini, segala yang diharamkan akan dihalalkan atau seperti dalam hadis lain yang menyifatinya sebagai “tuli dan buta”; tuli sehingga tidak dapat ditolak dengan kata-kata dan buta sehingga dapat menyerang sesiapa sahaja; mencakupi semua dan ditimpakan pada semua; masuk ke setiap rumah dan memukul keperibadian setiap orang Islam dan bergejolak dalam masyarakat Islam laksana bergolaknya kapal di lautan yang bergelombang.

Lebih lanjut Nabi Saw turut menjelaskan bahawa sifat fitnah itu apabila ia datang maka tidak seorang pun yang dapat berlindung daripada bahaya yang mengancam agamanya dan agama keluarganya; tidak ada tempat berlindung daripada kekejaman para pemimpin yang zalim dan kuncu-kuncunya dari “Barat dan Timur” yang datang menguasai urusan umat Islam seperti disebutkan dalam satu hadis yang berbunyi: “Ketika datang satu kaum dari Timur dan Barat menguasai umatku…”.    

Ketiga; kejahatan fitnah dan gelombangnya berpusat di negeri-negeri Syam (maksud negeri-negeri Syam adalah Palestin, Lebanon, Syria dan Jordan) seperti hadis yang mengatakan bahawa “akan berkobar di negeri-negeri Syam”. Maksudnya, fitnah itu akan bermula di negeri-negeri Syam kerana negeri-negeri itu merupakan kawasan kebangkitan budaya. Apatah lagi jika dikaji bahawa ketakutan Israel terhadap negeri-negeri Syam.

Dalam satu riwayat disebutkan, fitnah itu akan “mengelilingi Kota Syam” dan meliputi negeri-negerinya, kemudian menjalar ke sesetengah negara Arab dan wilayah umat Islam lainnya. Bahkan, salah satu hadis mengatakan secara jelas bahawa “Fitnah Palestin” akan berpusat di negeri-negeri Syam dan terjadi paling besar di sana.

Keempat; fitnah itu akan memakan masa yang panjang dan pelbagai cara penyelesaian tidak akan berjaya, kerana ia lebih merupakan fitnah kebudayaan yang tidak mungkin dapat diselesaikan dan didamaikan. Gelombang perlawanan oleh masyarakat akan menguat dan mematahkan setiap jalan penyelesaian seperti disebut dalam satu hadis “tidak ditampal di satu sisi melainkan robek atau rentas di sisi yang lain”. Ini kerana penyelesaian masalah itu hanya terjadi dengan kedatangan Imam Mahdi yang penuh berkah, yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi oleh kezaliman.

*****
Fitnah itu akan bergolak dan bergejolak laksana kapal di samudera luas, sehingga tidak seorang pun mendapat tempat perlindungan. Fitnah itu kemudian akan sampai ke Syam, menyerang Iraq dan seterusnya Semenanjung Arab. Malapetaka ini akan menimpa umat manusia “sehingga tidak seorang pun dapat mengatakan “Ah…ah!”. Ini kerana apabila fitnah ini hilang di suatu kawasan maka ia akan meletup di kawasan lain.  

Dalam riwayat lain disebutkan: “Apabila fitnah Palestin bergejolak maka kesannya akan menghentam wilayah Syam laksana berkocaknya air dalam bekas, kemudian lenyap (seperti api dalam sekam), sedangkan saat itu kalian berjumlah sedikit dan hanya dapat menyesal.  Riwayat yang lain menyebutkan bahawa: “Satu fitnah akan mengelilingi kota Syam, mendatangi Iraq dan menghuru-harakan Semenanjung Arab”. Manakala dalam riwayat yang lain disebutkan: “Kemudian terjadilah fitnah… setiap kali dikatakan selesai, maka fitnah itu akan berterusan, sehingga tidak terdapat satu pun kawasan kecuali dimasukinya dan tidak tinggal seorang Islam pun melainkan diserangnya, sampai keluar seorang laki-laki daripada Ahlul Baitku”.

****
Ya akhi, merujuk kepada al-Quran ataupun hadis, kata fitnah digunakan dengan makna umum dan khusus. Makna umum perkataan “fitnah” adalah setiap ujian dan cubaan yang menimpa manusia, sama ada disebabkan oleh dirinya sendiri, syaitan atau manusia lain, sama ada orang yang terkena fitnah itu selamat atau tidak. Manakala makna khusus perkataan “fitnah” adalah semua peristiwa dan kejadian yang menyebabkan umat Islam diuji dan membuat mereka berpaling daripada agamanya. Inilah makna yang dimaksudkan dengan segala bentuk fitnah sama ada dari dalam mahupun dari luar yang diperingatkan oleh Nabi Saw supaya kita sebagai umatnya berwaspada.

No comments:

Post a Comment