Monday, October 17, 2011

Dialog Sunni – Syiah Tentang Menghimpunkan Solat (Solat Zuhur Dengan Asar dan Maghrib Dengan Isya')




Nawab: kenapa orang-orang Syi'ah menjamakkan solat Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isya', sedangkan ini bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAWAW?

Shirazi: Pertamanya, ulama saudara sendiri berbeza pandangan sesama mereka, di dalam masalah yang mereka ikuti kemudiannya. Keduanya, saudara mengatakan kami melakukan amalan yang bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWAW. Saudara terkeliru di sini kerana Rasulullah SAWAW sendiri pernah mendirikan solat dengan kedua-dua cara, kadangkala dengan menjamaknya dan kadangkala secara berasingan.

Nawab: Menoleh kepada sahabatnya dan bertanya sama ada, benar atau tidak Rasulullah SAWAW pernah melaksanakannya dengan kedua-dua cara tadi.

Hafiz: Baginda melakukannya hanya seketika di dalam perjalanan atau sewaktu terdapat halangan seperti hujah dan lain-lain lagi. Ketika itu Rasulullah SAWAW akan mendirikan solat secara jamak, jika, baginda akan bersolat berasingan semasa di rumah.

Shirazi: Di dalam kitab-kitab saudara sendiri, tercatat banyak keterangan hadith, Rasulullah SAWAW pernah mendirikan solat secara berasingan, dan begitu juga dengan menjamakkannya baik di rumah atau tanpa sebarang halangan. Terdapat begitu banyak sekali hadith-hadith sahih di dalam buku-buku saudara sendiri.

Hafiz: Jika benar begitu, tolong rujukkan kepadanya.

Shirazi: Di dalam "Sahih" Muslim bin Hajjaj, Bab "Jama' Baina-Salatain fil-Hadhar" tercatat sanad-sanad yang tidak terputus yang meriwayatkan Ibn Abbas berkata,"Rasulullah SAWAW pernah mendirikan solat Zuhr dan Asar, dan Maghrib dasn Isya' secara jamak, tidak dalam ketakutan atau apabila baginda berada di luar rumah. Dan sekali lagi, Ibn Abbas berkata,"Kami menyempurnakan lapan raka'at pada solat Zuhr dan Asar, dan tujuh raka'at pada solat Maghrib dan Isya' bersama-sama Rasulullah SAWAW." Hadith yang serupa juga telah dikutip oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam "Musnad"nya, Bahagian I, di halaman 221.

Begitu juga, Imam Muslim mencatatkan beberapa buah hadith yang serupa. Dia meriwayatkan dari Abdullah bin Shaqiq yang menyatakan, bahawa pada satu hari Abdullah bin Abbas sedang membaca khutbah bersama-sama dengan sahabat yang lain selepas solat Asar, sehingga matahari terbenam dan bintang-bintang mulai terbit. Orang ramai berteriak,"Solat! Solat!", tetapi Ibn Abbas tidak menghiraukannya. Ketika itu, seorang dari Bani Tamimi berteriak lagi,"Solat! Solat!". Ibn Abbas kemudian berkata,"Engkau mengingatkan aku tentang satu "sunnah," adapun aku sendiri telah menyaksikan Rasulullah SAWAW menjamakkan solat Zuhr dengan Asar dan solat Maghrib dengan Isya'. Abdullah bin Shaqiq berkata, dia ragu-ragu dengan kata-kata ini lalu terus menemui Abu Hurairah untuk meminta penjelasannya. Beliau mengakui apa yang telah diperkatakan oleh Ibn Abbas itu.

Melalui sanad yang lain pula, Abdullah bin Shaqiq telah meriwayatkan dari Aqil, bahawa Abdullah bin Abbas sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang dari atas mimbar sehingga hari telah menjadi gelap. Kemudian seorang di antara mereka berteriak tiga kali,"Solat! Solat! Solat!," dan ini menganggu Abdullah bin Abbas, lalu beliau berkata,"Awas, berani kamu mengingatkan aku tentang solat, walhal pada hari-hari bersama Rasulullah SAWAW, kami pernah menjamakkan solat Zuhr dan Asar dan solat Maghrib dan Isya.'

Zarqani, salah seorang ulama saudara yang terkenal di dalam Sharh al-Muwatta Imam Malik, Bahagian I, Bab "Jamak Baina-solatain", halaman 363, memetik Nasai yang mengambil riwayat melalui Amr bin Haram Abi Shaasa, bahawa Ibn Abbas berkata dia menjamakkan solat Zuhr dengan Asar dan solat Maghrib dan Isyak di Basrah dengan tiada diselangi waktu atau perbuatan yang lain di antara kedua solat tersebut. Dan beliau berkata Rasulullah SAWAW juga bersolat demikian. Juga, Muslim di dalam Sahihnya dan Malik di dalam Muwattanya Bab "Jamak Baina-solatain", dan Imam Hanbal di dalam Musnadnya mencatatkan berkenaan Ibn Abbas melalui Said bin Jubair, bahawa Rasulullah SAWAW menjamakkan solat Zuhr dan Asar di Madinah tanpa alasan ketakutan atau hujan. Abu Zubair berkata bahawa dia bertanya kepada Said kenapa Rasulullah SAWAW menjamakkan solat. Said menjawab, dia juga pernah bertanya kepada Ibn Abbas soalan yang sama. Ibn Abbas menjawab, baginda menjamakkan solat kerana tidak mahu menyusahkan umatnya. Begitu juga, di dalam hadith-hadith yang lain Ibn Abbas menyebutkan bahawa Rasulullah SAWAW menjamakkan solat Zuhr dengan Asar dan solat Maghrib dengan Isyak bukan disebabkan ketakutan atau hujan.

Terdapat begitu banyak sekali hadith yang diriwayatkan berhubungan dengan perkara ini, yang menjadi bukti yang nyata tentang kesahihan menjamakkan solat selain daripada pembahagian bab-bab tentang solat Jamak dan pengumpulan hadith di dalam tajuk yang sama. Ini supaya keizinan menjamakkan solat tidak dapat dipertikaikan lagi. Kalau tidak, sebahagian akan mengatakan bahawa solat jamak boleh dilakukan di rumah, dan sebahagian yang lain akan mengatakan solat jamak hanya boleh dilaksanakan ketika di dalam perjalanan yang bersangkutan dengan waktu solat jamak. Walau bagaimanapun hadith-hadith yang telah disebutkan tadi, yang terdapat di dalam buku-buku yang "Sahih" dan juga di dalam buku-buku yang muktabar membuktikan bahawa menjamakkan solat diizinkan sama ada di dalam perjalanan ataupun semasa berada di rumah.

Hafiz: Tidak terdapat Bab yang sedemikian di dalam kitab Sahih Bukhari.

Shirazi: Pertama, apabila semua pengarang kitab-kitab "Sahih" seperti Muslim, Nasai, Ahmad bin Hanbal dan pendapat-pendapat selain "Sahihain" Muslim dan Bukhari serta lain-lain ulama besar saudara telah mencatatkan semua perkara itu, ia sudah mencukupi untuk membenarkan perkara ini.
Kedua, Bukhari juga telah meriwayatkan hadith ini di dalam "Sahih"nya tetapi dengan sengaja menyisihkan hadith ini dari tempatnya "Jamak Solat". Jika saudara meneliti bab "Bab at-Takhir uz-Zuhr Ilal Asr Min Kitab al-Mawaqitus-Solat", dan "Bab az-Zikrul Isya' wal-Atmah", dan "Bab al-Waqtul Maghrib" saudara akan menemui hadith-hadith ini di situ.

Jadi, catatan hadith yang berada di bawah tajuk "Keizinan dan Keesahan Menjamakkan Dua Solat", terbukti sebagai suatu keyakinan yang umum kepada ulama daripada kedua-dua belah pihak, dan kesahihan hadith ini telah diperakui di dalam buku-buku "Sahih."

Seterusnya, Allamah Noori di dalam Syarh Sahih Muslim, dan Asqalani, Qastani dan Zakariya al-Razi di dalam perbahasan yang telah mereka tulis berkenaan "Sahih Bukhari" dan juga Zarqani di dalam syarah (ulasan) Mawatta Imam Malik dan ramai lagi ulama yang lain telah mencatatkan hadith-hadith ini. Dan selepas mencatatkan hadith Ibn Abbas ini dan mengakui akan kesahihannya, mereka menerima bahawa hadith-hadith ini adalah bukti kebenaran dan keizinan menjamakkan solat supaya umat Rasulullah SAWAW tidak dibebani dan tidak disusahkan.

Nawab: Bagaimana mungkin hadith ini dapat di amalkan semenjak Rasulullah SAWAW dahulu, sedangkan ulama telah mengambil jalan yang berbeza-beza?

Shirazi: Persoalan itu tidak melibatkan perkara ini sahaja. Saudara akan melihat contoh-contoh yang lebih banyak lagi nanti. Di dalam perkara ini, Fuqaha Sunni sama ada tidak mengambil berat tentangnya ataupun kerana alasan yang lain, yang saya tidak tahu bercanggah pemahaman dan memberikan alasan yang tidak munasabah. Sebagai contoh, mereka berkata bahawa hadith ini mungkin merujuk kepada keadaan seperti disebabkan ketakutan, bahaya, hujan atau ribut. Dan sebahagian ulama silam saudara seperti Imam Malik, Imam Syafie dan Fuqaha dari Madinah telah memberi fatwa dengan alasan yang sama, walaupun pendapat itu telah ditolak oleh hadith Ibn Abbas, yang dengan tegas telah menyatakan bahawa dua solat telah didirikan tanpa sebab hujan atau takut. Yang lain, mereka menyatakan barangkali langit tidak dapat diramal dan mereka tidak pasti dengan waktu, dan sesudah selesai mengerjakan solat Zuhr ketika itu awan telah hilang dan mereka dapati waktu Asar telah masuk. Jadi mereka telah mengerjakan solat Zuhr dan Asar dengan menjamakkannya. Saya tidak dapat memikirkan alasan lain yang lebih kuat lagi. Mungkin pentafsir ini tidak mempertimbangkan, bahawa orang yang bersolat itu adalah Rasulullah SAWAW yang baginya, ada atau tidak adanya awan tidak bererti apa-apa kerana ilmunya tidak hanya meliputi segala sebab, tetapi juga meliputi semua sebab dan musabab. Selain dari kenyataan orang-orang ini mempunyai pemikiran yang keliru, tidak terdapat sebarang bukti yang menunjukkan peristiwa ini benar-benar berlaku. Menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak menafikan alasan mereka ini. Ini disebabkan pada waktu itu (di malam yang gelap), ada atau tidak ada awan, tidak memberikan sebarang erti, biarpun mereka mengabaikan kenyataan pendapat mereka yang bertentangan dengan erti hadith tadi.

Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh hadith Ibn Abbas yang dengan terang mengatakan bahawa dia terus memberikan ucapannya sehingga ada dari kalangan pendengar berteriak,"Solat! Solat!" iaitu untuk mengingatkannya bahawa bintang telah terbit dan sudah masuk waktu untuk solat. Ibn Abbas dengan sengaja melewatkan solat Maghrib, kerana dia akan menjamakkana solat Maghrib dan Isyak. Abu Hurairah juga mengakui perbuatan ini dengan mengatakan Rasulullah SAWAW berbuat seperti itu juga. Sudah pasti alasan yang longgar akan kami tolak. Begitu juga dengan mereka yang benar-benar berilmu dari kalangan ulama saudara, dengan keyakinan ianya bertentangan dengan maksud hadith yang jelas. Seterusnya ulama besar saudara, Syeikhul Islam Ansari, di dalam kitabnya "Tohfatul Bari Fi Syarh Sahih al-Bukhari" di dalam Bab "Solat-al-Zuhr ma'al 'Asr wal-Maghrib ma'al Isya'" halaman 292, Bahagian I dan begitu juga Allamah Qastalani pada halaman 293, Bahagian II, Kitab Irshadus-Sari Fi Syarh Sahih al-Bukhari", dan lain-lain pelopor Sahih Bukhari dan pengkaji yang begitu ramai dari kalangana mazhab saudara, telah mengakui bahawa alasan seumpama itu adalah bertentangan dengan erti yang jelas dari hadith tadi, dan dengan itu untuk mengaitkannya, bahawa solat mesti dilakukan secara berasingan tidak mempunyai dasar sama sekali.

Nawab: Jadi bagaimanakah perselisihan ini boleh muncul, sehingga dua golongan di dalam Islam sanggup menghalalkan darah saudara Islam yang lain, dan memandang sesama sendiri dengan perasaan benci dan dendam serta mengutuk amalan satu sama lain?

Shirazi: Pertama, saudara mengatakan dua golongan mazhab dalam Islam tidak mampu mencontohi satu sama lain. Saya terpaksa mempertahankan diri saya bagi pihak Syi'ah Ahlul Bait AS dan keluarga Rasulullah SAWAW, iaitu kami Syi'ah tidak memandang rendah atau bermusuhan dengan mana-mana orang yang berpelajaran atau mengutuk saudara Islam Sunni kami. Malahan kami memandang mereka seperti saudara Muslim kami. Kami, sudah pastilah amat berdukacita dengan dakyah pihak Khawarij, Nasibi, Bani Umaiyyah dan gerakan-gerakan syaitan baik dari kalangan jin dan manusia yang telah mempengaruhi saudara kami dalam Islam, iaitu Sunni, sehinggakan mereka menganggapkan saudara Syi'ah yang mengambil Ka'bah, al-Qur'an, kenabian, mengerjakan amalan yang diwajibkan dan sunat, serta menjauhkan diri dari perbuatan dosa, tetapi telah dituduh sebagai golongan Rafidi, penyembah berhala, kaum kufur, lalu mereka menjauhkan diri dari kami, dan memandang kami dengan perasaan benci dan dengki.

Kedua, saudara bertanya bagaimana perbezaan boleh bermula, mungkin saya akan memberitahu saudara di malam-malam akan datang.

Ketiga, tentang menjamakkan solat atau solat secara berasingan, Ahli Fiqh Sunni sendiri mencatatkan hadith-hadith ini, yang memberi keizinan untuk menjamakkan solat Zuhr dengan Asar dan solat Maghrib dengan Isyak bagi tujuan kemudahan, kesenangan dan keselamatan dari bahaya atau dari kemudaratan. Tetapi saya tidak mengetahui kenapa alasan-alasan yang tertolak dikemukakan dan mereka melarang menjamakkan solat di luar halangan-halangan ini. Malahan, sebahagian dari mereka seperti Abu Hanafi dan pengikut-pengikutnya telah mengharamkannya sama sekali, baik ketika ada halangan mahupun tidak ada, atau sama ada sewaktu di rumah ataupun di dalam perjalanan. Tetapi menurut Syafie, Maliki dan Hanbali, walaupun berbeza-beza di dalam alasan yang juga tidak perlu telah mengizinkan untuk menjamakkan solat sewaktu di dalam perjalanan atau sebagaimana seperti pergi Haji, Umrah, dan peperangan dan lain-lain lagi.

Tetapi ulama Syi'ah di dalam mentaati para Imam Maksum dari Ahlul Bait Rasulullah SAWAW yang mengikut sunnah Rasulullah SAWAW yang disifatkan sebagai pembeza di antara yang haq dan yang batil dan pengimbang al-Qur'an, tanpa apa-apa syarat telah mengizinkan sama ada di rumah ataupun di dalam perjalanan baik ada halangan atau pun tidak, untuk menunaikan solat secara berturut-berturut satu persatu, atau diselangi dengan jarak masa yang panjang. Dan ini hanya termaktub kepada solat yang tertentu sahaja, iaitu mereka boleh mengerjakan solat Zuhr dan Asar, atau solat Maghrib dengan Isyak, di dalam satu waktu menurut kesempatan dan keselesaan, atau boleh juga untuk bersolat di awal waktu (ini sangat afdhal) ataupun mendirikan solat Maghrib dan Isyak mengikut keselesaan waktu mereka. Memang solat di awal waktu adalah lebih afdhal, sebagaimana yang telah disebutkan dalam buku-buku perukunan tentang masalah ini yang telah ditulis oleh ulama Syi'ah.

Mungkin orang-orang sekarang terlalu sibuk dengan tugas mereka dan mempunyai tanggungjawab dan mereka sering berasa cemas kerana bimbang terluput waktu solat dengan sedikit kecuaian sahaja. Jadi, bagi kemudahan mereka dan untuk mengelakan kesusahan dan bebanan (yang menjadi tujuan Pencipta Tuntutan Islam (Allah SWT), Syi'ah mendirikan dua solat di dalam satu waktu, sama ada di awal atau akhir waktu, pada waktu yang telah ditentukan. Saya harap ini sudah cukup untuk menjelaskan kemusykilan yang difikirkan oleh saudara, dan juga saudara Muslim Sunni yang memandang dengan dengki dan irihati terhadap kami. Sekarang kita kembali kepada perbincangan kita tadi, tentang persoalan pokok yang lebih utama, yang mana kesemua masalah hukum-hakam akan terjawab selepasnya dengan sendiri.

No comments:

Post a Comment